London: Penganjur pertandingan ratu cantik Miss World mengumumkan peragaan pakaian mandi akan dibuang daripada acara itu tahun depan.
Dalam temu bual dengan majalah Elle, pengerusinya Julia Morley berkata: “Saya rasa tidak perlulah kita menayangkan wanita berjalan ke sana ke mari dengan hanya memakai bikini. Ia tidak membawa sebarang manfaat untuk peserta terbabit apatah lagi bagi kita yang menontonnya.
“Saya tidak peduli langsung saiz punggung mereka. Bukan itu yang kami cari bagi calon pemenang. Yang kami mahu lihat ialah kepintaran mereka,” katanya.
Pertandingan Miss World yang pertama kali diasaskan mendiang suami Julia, Eric, bermula sebagai pertandingan khas untuk pakaian mandi dan dikenali sebagai Bikini Contest Festival.
Namun Julia yang kini berusia 70-an sekarang menganggap acara pakaian mandi sudah lapuk. Disebabkan itu, acara berkenaan tidak disiarkan di televisyen sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebaliknya diadili panel hakim secara tertutup.
“Kami tidak mahu gadis-gadis ini hanya dipandang kerana tubuh badan mereka,” katanya.
Menurutnya, wawasannya adalah untuk memberi kelainan berbanding pertandingan ratu cantik lain kerana lebih mementingkan kebijaksanaan serta personaliti pesertanya berbanding sekadar kecantikan luaran.
Satu kelainan diperkenalkan adalah elemen khidmat masyarakat dikenali sebagai Beauty with a Purpose yang mewajibkan peserta melakukan projek kebajikan penting serta relevan di negara peserta.
Pemenang tahun ini, Rolene Strauss, 22, dari Afrika Selatan yang dinobatkan wanita paling cantik dunia hujung minggu lalu sememangnya membuktikan arah baru pertandingan berkenaan.
Pelajar perubatan itu amat meminati sains malah ibu bapanya masing-masing jururawat serta doktor. Dalam rakaman prapertandingan, Rolene berkata impiannya sejak kecil adalah untuk menjadi Miss South Africa, Miss World dan mempelajari perubatan.
0 comments:
Post a Comment