KUALA LUMPUR, 20 Sept — Penampilan wanita bertudung tidak terjejas dengan menari Hindustan yang tidak keterlaluan, kata pelakon Mira Filzah.
Mira, nama popular Nur Amirah Filzah Badioezaman berkata, video tariannya yang dimuat naik di media sosial juga tidak melanggar batas-batas seorang muslimah.
“Saya memang minat lagu-lagu Hindustan sejak kecil lagi, keluarga saya tahu tentang itu. Cuma pada pandangan netizen ia tidak sesuai kerana saya bertudung.
“Selagi saya rasa ia tidak keterlaluan dan saya tahu batasnya tiada masalah,” katanya seperti dilaporkan Mstar.
ProjekMMO pada Julai melaporkan Mira dikritik hebat pengguna media sosial gara-gara galak menari rentak lagu Hindustan menerusi satu video yang dimuat naik di internet.
Video 50 saat itu memaparkan Mira, rancak menari bersama lelaki yang berada di belakang kereta yang dipandu seorang wanita.
Dimuat naik di Facebook portal Rotikaya, rata-rata berpandangan pelakon drama Cinta Si Wedding Planner itu “sudah berubah” selepas lebih dikenali berbanding dahulu mula terlibat dalam dunia seni.
Mira, 23, berkata walaupun dirinya menonjol di media sosial namun hal berkaitan keluarga tidak harus dilibatkan.
Katanya, walaupun dirinya sedia dikritik namun tidak pada ahli keluarga yang hanya akan mengundang rasa sedih.
“Saya cukup berhati-hati untuk berkongsi sesuatu di laman sosial kerana saya tidak mahu ibu saya rasa sedih. Saya tidak mahu keluarga terkena tempiasnya.
“Kalau mereka kritik tentang saya tidak mengapa kerana saya sudah biasa dan tahu tentang industri,” dia dilaporkan berkata.
0 comments:
Post a Comment