BERCERITA hal ke luar negara, bila-bila pun pasti akan menghangatkan perbualan. Bagi orang perempuan, hangatnya adalah berkait dengan kegilaan semula jadi mereka - membeli-belah. Bagi lelaki, lain pula kesukaannya.
Orang lelaki paling gemar bercerita hal wanita apabila menyentuh topik kunjungan ke luar negara. Tak kira siapa. Seorang kawan saya yang selalu ke masjid, pun sangat suka bercerita topik ini. Tetapi ceritanya tidaklah macam geng hidung belang.Tersangat geli hati saya apabila mendengar dia bercerita hal wanita pelayan rumah makan di Indonesia yang katanya, jari mereka runcing-runcing belaka.
Sambil itu, dia turut menggayakan cara mereka menyenduk makanan yang menurutnya, tersangatlah indah dipandang! "Yang datang ke sini, jangan kira. Itu dari pulau-pulau. Nak tengok rupa sebenar perempuan Indonesia, jom pergi sana. Kita pergi Bandung, Jakarta atau Surabaya. Yang berselisih di jalan saja pun, kalau kat sini dah boleh jadi film star," katanya.
Seorang lagi kawan, lain pula ceritanya. Tatkala kawan yang tadi bersungguh-sungguh bercerita hal kecantikan wanita seberang, dia pula galak menempelak. "Ah! Mana adalah... yang aku nampak semua gemuk-gemuk je. Tak cantik langsung. Bedaah la haji ni," katanya. Kami yang mengelilingi meja warung tengah malam itu terbahak-bahak ketawa. Seorang kata cantik, yang seorang lagi kata tidak.
Memang, kedua-duanya dari kelompok yang suka melancong ke luar negara dalam pakej eksklusif untuk lelaki sahaja. Jadi, tidak boleh mudah buat kesimpulan bahawa rakan yang mengatakan wanita Indonesia gemuk-gemuk belaka itu jujur dalam kenyataannya. Itu mungkin hanya ayat pelindung!
Akhirnya setelah puas mereka bertekak, baharulah rakan ini mengatakan, dia mungkin sudah kena 'mandrem' dengan isterinya. "Aku teringat, setiap kali aku nak ke sana, bini aku selalu kata, mata tu jaga ye bang!" "Ayat tu dia tak pernah tinggal.
Mungkin juga dia ada 'mandrem' semua perempuan yang aku tengok di sana, aku nampak gemuk-gemuk belaka," katanya langsung mengundang ketawa kami jadi lebih kuat tengah malam itu.
Sekarang memang ramai orang kita yang berulang alik ke negara jiran, naik kapal terbang sudah macam keluar ke pekan. Penerbangan ke beberapa bandar di Indonesia dari KL sudah ada seawal jam 6 pagi. Pukul 8 sudah boleh sarapan di sana. Selesai urusan, petang sudah ada di KL semula. Bukan Indonesia sahaja, ke Vietnam, pun sama.
Sebab itu, antara urusan yang masyhur bagi lelaki di negara jiran ini selain wanitanya, adalah untuk tempah sut yang harganya berkali ganda lebih murah dari di negara kita. RM300 sudah boleh dapat sepasang sut yang tempahannya boleh siap dalam masa sehari.
Ada juga tukang jahit di sana yang simpan rekod ukuran kita untuk ditempah lagi pada bila-bila masa tanpa perlu ke sana. Dengan hanya merujuk rekod yang ada, tempahan disiapkan dan dihantar terus kepada kita melalui pos. Demikianlah cara mereka berniaga yang sekali gus membuatkan saya berasa hairan, mengapalah di negara kita sepasang sut teramat mahal harganya? Paling murah pun RM1,600.
Bercerita hal Indonesia, teringat cerita seorang ustaz perihal geng masjid di negara kita yang buat lawatan ke negara jiran itu. Ketika mereka sedang berehat di hotel, datang seorang lelaki bertanya: "Pak, apa bapak mau masjid?"
Mereka langsung mengiakan ajakan itu. Elok jugalah, boleh buat solat sunat tahiyat masjid dan tengok orang setempat berjemaah. Lalu lelaki itu minta mereka tunggu di kamar kerana katanya, nanti akan ada orang datang ajak mereka ke masjid. Tidak berapa lama menunggu, pintu bilik mereka diketuk. Sebaik dibuka, alangkah terkejut mereka masing-masing kerana yang mengetuk adalah wanita yang hampir tidak berpakaian. Sedikit sangat tutupnya.
Wanita itu pula pantas menarik tangan mereka masuk ke bilik, lalu menutup pintu. Kecohlah jadinya apabila wanita itu dihalau keluar!
Mereka pun mengadu kepada si penjaga. Apabila lelaki itu datang, dia bertanya: "Bapak-bapak, kenapa jadi ribut ya? Tadi bapak sendiri bilang mau masjid!"
"Tak ribut apanya, tadi awak ajak kami ke masjid. Tahu-tahu, mereka ni yang datang, masjid apa ke jadahnya?" kata ahli geng masjid itu. "Ya pak, emangnya masjit ya pak, massage sama pijit (picit), masjit. Saya nggak ngajakin bapak ke masjid tempatnya solat itu ya pak!"
0 comments:
Post a Comment